06 October 2011

Kak Wa Ubah Taraf Hidup Melalui Bisnes Internet

“Kemajuan dunia teknologi masa kini telah membuka banyak peluang kepada golongan usahawan untuk menjana pendapatan yang lumayan. Kesempatan yang terbuka luas di depan mata dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Maizura Mazlan demi mengubah taraf kehidupan selain mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.”


Konsep perniagaan yang saya jalankan ini lebih kepada mempromosikan laman web (Program Affiliate). Pihak syarikat akan melantik agen untuk mempopularkan sesuatu laman web. Untuk menjadi agen anda perlu menjadi agen dengan cara membeli pakej dan produk yang kami tawarkan.
Perniagaan ini merupakan produk perkhidmatan yang merangkumi blog, sms blaster, e-library, serta pejabat maya selain aktiviti jual beli menerusi internet. Sebenarnya perniagaan ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja asalkan mereka mempunyai minat dan kesungguhan untuk berusaha,” ujar Maizura Mazlan yang mesra disapa Kak Wa.

Menurut Kak Wa perniagaan ini amat sesuai untuk golongan wanita terutama suri rumah yang ingin mengubah kehidupan mereka serta punya pendapatan sendiri. Mereka yang bekerja terutama wanita yang ingin mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga juga sesuai menyertai perniagaan ini dan boleh dilakukan secara sambilan bagi menjana pendapatan lumayan.

“Perniagaan ini dapat membantu orang ramai menambah pendapatan mereka, selain berpeluang untuk memperbaiki kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Melalui perniagaan ini, setiap agen boleh menjana pendapatan lumayan setiap hari, namun perniagaan ini tetap memerlukan usaha kerana ini bukanlah skim cepat kaya atau skim pelaburan internet.”

“Perniagaan ini juga sesuai untuk golongan usahawan yang ingin berniaga tetapi mempunyai modal yang terhad. Bagi mereka yang tidak mempunyai bisnes juga sebenarnya boleh menjana pendapatan melalui aplikasi blog dan e-mall. Modal untuk menjadi agen hanya serendah RM150 sahaja, namun berpotensi untuk memperoleh pendapatan yang lumayan amat cerah asalkan rajin berusaha,” ujar Kak Wa yang berhasrat untuk mencapai rating sasaran laman web syarikat seperti Yahoo, Google yang cukup terkenal di seluruh dunia.

Sejak terlibt dengan bisnes internet, kehidupan Kak Wa berubah 360 darjah. Pernah mengalami jatuh bangun dalam dunia perniagaan sebelum ini, nyata Kak Wa tidak pernah serik untuk terlibat dalam dunia perniagaan.

“Dahulu saya ada banyak perniagaan. Saya ada restoran dan katering tetapi semakin besar perniagaan semakin banyak pula risiko yang perlu dihadapi. Mungkin rezeki saya bukan dalam bidang tersebut.”

“Bila saya lihat peluang perniagaan internet ini, saya percaya ianya mampu pergi labih jauh. Perbezaan yang paling ketara ialah ketika mengadakan bisnes konvensional, saya rugi masa dengan suami dan anak-anak, tetapi dengan bisnes sekarang, saya dapat wang dan masa bersama keluarga. Malah suami saya juga turut menyertai bisnes ini secara sepenuh masa,” tutur isteri kepada Abdul Razak Abdul Manap ini.

Kak Wa kini lebih banyak masa bersama keluarga

Istimewanya tentang perniagaan internet ini ialah bisnes ini boleh dijalankan di mana-mana sahaja dan beroperasi selama 24 jam. Dengan kemajuan teknologi, dunia kini tanpa sempadan.

“Bisnes ini juga sesuai untuk golongan pelajar kerana ia tidak mengganggu pembelajaran. Anak sulung saya turut menyertai bisnes ini dan hasilnya dia sudah mempunyai pendapatan sendiri walaupun masih bergelar seorang pelajar.”

“Konsep bisnes ini memberikan sistem komisyen. Pendek kata, ada kerja, ada gaji. Sebenarnya untuk berjaya, kita perlu ada sikap sanggup belajar dan boleh diajar. Dengan cara itu kita dapat mempertingkatkan skil dari semasa ke semasa,” ujar Kak Wa yang sudah dua tahun menjalankan bisnes internet ini.


Perlu Ikut Peredaran Masa

Tidak kira apa jua jenis perniagaan yang diusahakan mestilah ada matlamat. Inilah selalu ditekankan oleh Kak Wa kepada agen-agennya.

Kak Wa bersama agen-agen dibawah jaringannya

“Saya membuka jalan kepada mereka yang berminat untuk menjana pendapatan lumayan. Uniknya tentang perniagaan ini ialah kami tidak memasarkan produk fizikal dan ia mudah untuk diuruskan. Buat suri rumah tangga, janganlah terlalu bergantung dengan suami. Berusahalah untuk punya pendapatan sendiri. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan.”

“Jangan jadikan alasan tidak pandai menggunakan komputer dan internet, tidak suka berurusan dengan orang ramai dan seribu satu alasan untuk tidak menyertai perniagaan yang berkaitan dengan dunia siber. Kita perlu mengikut peredaran masa dan zaman. Bila melihat orang dibawah jaringan saya berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, ia merupakan satu kejayaan buat diri saya dan saya mahu membantu lebih ramai orang untuk hidup lebih selesa,” ujar ibu kepada Tharra Sakinah, 20 dan Abdul Hakim, 13.

Menyentuh tentang persaingan, akui Kak Wa setakat ini memang tiada memandangkan produk yang ditawarkan amat berlainan dengan bisnes-bisnes lain. Hanya strategi diperlukan untuk meningkatkan pendapatan.”

“Dalam dunia siber, cabaran yang perlu dilalui ialah mendapat kepercayaan daripada orang ramai apatah lagi dengan lambakan bisnes siber sekarang ini. Oleh itu, dengan penjelasan yang tepat dan telus segalanya menjadi mudah.”

“Dengan pendapatan sehingga lima angka sebulan, kehidupan saya cukup selesa. Bagaimanapun, untuk perancangan masa depan, saya bercadang untuk menjalankan perniagaan hartanah.”

# Sumber Artikel dari Mingguan Wanita, Bil. 1425 16-22 September 2011

No comments:

Post a Comment